“Ibarat diberi nyawa kedua apabila permohonan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM50,000 diluluskan empat tahun lalu, sekali gus membolehkan saya memulakan semula perniagaan makanan sejuk beku yang hampir muflis,” kata penerima Anugerah Usahawan TEKUN, Fatihah Anis Ibrahim.
Wanita berusia 50 tahun ini antara 16 usahawan seluruh Malaysia yang menerima anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Konvensyen Usahawan TEKUN dan Ekspo Keusahawanan TEKUN Nasional 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Menurut pemilik Fatihah Frozen Food Sdn Bhd ini, sebelum memulakan pinjaman dengan TEKUN pada 2009, terlebih dulu dia memulakan perniagaan menggunakan modal sendiri dengan menjadikan rumah sebagai pusat jualan.
“Saya memulakan perniagaan makanan sejuk beku sejak 26 tahun lalu tetapi secara kecil-kecilan saja. Bergelar ibu tunggal dan terpaksa menyara tiga cahaya mata sendirian, 13 tahun lalu, membuatkan saya memberi tumpuan penuh dalam perniagaan ini.
“Andai dulu ada orang menyara, kini tanggungjawab itu terletak di bahu saya. Dalam perniagaan, ada pasang surutnya, pada 2009 adalah tahun paling mencabar bagi saya apabila perniagaan hampir muflis memaksa saya berhutang dengan ramai pihak.
“Apabila mendapat tahu mengenai TEKUN, saya membuat pinjaman dan syukur ia diluluskan. Perniagaan saya bermula dari bawah dan kini lebih 20 produk keluaran syarikat berjaya mendapat tempat,” katanya ketika ditemui.
Tidak menyangka menerima anugerah berkenaan, Fatihah Anis berkata, masyarakat khususnya ibu tunggal seharusnya memanfaatkan kemudahan pinjaman kewangan yang disediakan kerajaan menerusi Tekun bagi meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.
Sementara itu, pengusaha kedai jahit, Zaini Zakaria, 53, berkata mulanya dia menjadikan rumah sebagai lokasi perniagaan dan apabila berpisah dengan bekas suaminya 17 tahun, dia menggunakan kemahiran menjahit sebagai sumber pendapatan untuk menanggung tiga anak.
“Saya mengusahakan kedai jahit dan tidak pernah terfikir untuk membuat pinjaman bagi membesarkan perniagaan. Apabila didatangi pegawai TEKUN menawarkan pinjaman, saya berminat,” katanya.
SUMBER : HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment