Bidang keusahawanan boleh menjana pendapatan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, walaupun pada awalnya bermula sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.
Itulah antara resipi kejayaan dua usahawan yang juga ikon bagi program GIGIH, diterajui Agensi Inovasi Malaysia (AIM) yang ditemui sempena dengan Program Jelajah Janji Ditepati di Dataran Shahbandar, semalam.
Usahawan Online, Aryna Samsuddin, 30, berkata, kegilaan kepada fesyen dan sepatu mencetuskan idea untuk melahirkan Distro KL, yang menyediakan perkhidmatan menghasilkan sepatu ditempah khas dari pelbagai jenis.
“Bulan pertama berniaga, kami menerima tempahan 30 pasang sepatu yang menghasilkan pendapatan RM5,000. Kegilaan ini memberi inspirasi dan membuka jalan bagi menambah pendapatan.
“Selepas dua tahun, kini Distro KL diperkembangkan dengan jenama khusus wanita, Sole II Soul dan pendapatan kini mencecah lebih RM10 ribu sebulan,” katanya semasa ditemui di Booth AIM.
Beliau yang berasal dari Pahang dan seorang suri rumah itu turut dijadikan ikon untuk berkongsi resipi kejayaan sehingga berjaya memperoleh pendapatan lumayan.
Bagi Azlan Azhar, 42, pula, usaha dan minat mereka cipta kapal terbang kawalan jauh pada awalnya hanyalah sekadar hobi untuk memenuhi masa lapang.
Namun, apabila mendapati semakin ramai yang menggemarinya, usaha itu dikembangkan dengan mencipta pelbagai reka bentuk badan pesawat yang turut dilengkapi dengan enjin.
Menurut Azlan, semua hasil ciptaan kapal terbang, helikopter dan jet mainan perlu merujuk kepada reka bentuk asalnya termasuk memastikan ukuran keseimbangan supaya mampu terbang apabila dimainkan.
Katanya, satu unit mainan mengambil masa sehari untuk disiapkan dengan dibantu dua anak lelaki, Ahmad Azrul, 15, dan Ahmad Aizat, 13.
“Pesawat dibuat daripada ‘styrofoam’ dan peralatan elektrik dengan kos sekitar RM20 seunit. Setiap bulan mendapat tempahan purata 15 unit dengan harga sehingga mencecah RM900 seunit,” katanya.
Katanya, melalui hobinya ini kini dapat menjana pendapatan tambahan hasil kreativiti sendiri.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment