Friday, May 24, 2013

Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!

SALAM sejahtera saudaraku semua. Salam sejahtera juga kepada kawan-kawanku Orang Asli, Pribumi, Cina, India dan seluruh rakyat negara tercinta ini.
Salam sejahtera juga kepada barisan Kabinet baru Najib 2013.
Satu barisan kepemimpinan negara yang kita semua harapkan menjadi satu Kabinet, Wow Factor!
Maka, terpulanglah kepada Perdana Menteri Najib menggunakan segala kebijaksanaan beliau membentuk barisan hebatnya, yang bakal membuatkan semua orang - kawan dan musuh - yang melihat Kabinet itu terpegun!
Ingatlah PRU-14 tidak lama lagi. Hari bersilih hari terlalu cepat kini. Persiapan harus bermula saat ini, bukan esok atau lusa.
Kabinet ini haruslah yang terhebat!
TENGAH HARI semalam saya keliling satu Shah Alam untuk membeli satu barang mudah. Sarung untuk telefon baru saya. Sarung telefon sahaja. Alah, bukan saya nak beli enjin roket, tetapi sarung telefon sahaja.
Saya nak beli di Shah Alam, yang kononnya bandar raya hebat orang Melayu di Malaysia ini. Kebetulan saya menghuni di situ.


Takkan orang Melayu tak mampu menjual sarung telefon? Saya tak percayalah. Saya tak percaya tiada orang Melayu yang tidak mampu menjual sarung telefon itu.


Satu kedai ke satu kedai saya nak cari kedai budak Melayu menjual sarung telefon. Bukan nak cari Melayu tukang jual, tapi nak cari kedai Melayu yang menjual sarung telefon.


Akhirnya saya putus asa. Saya terpaksa beli di kedai milik kawan kita orang Cina.


Harganya bukan harga enjin roket, harganya hanya RM50. Semasa membayar hati saya menyentap. Tiadakah bangsa aku menjual sarung telefon ini?
Kerajaan, kononnya menyediakan pelbagai kemudahan kepada bangsa aku, sehingga kaum lain menjadi jaki dan sakit hati, tapi mana dia hasilnya?


Aku teriak dalam hati. Aku menangis dalam hati. Tak mampukah bangsa aku membuka kedai di Shah Alam Mall misalnya untuk menjual sarung telefon, jika bukan telefon itu sendiri pun. Lagi pun muka-muka yang membeli semuanya muka bangsa aku.


Jual kulit dan sarung telefon cukuplah. Jika bukan telefon-telefon canggih yang sudah menjadi bahan kegunaan ‘ruji’ sekarang ini, sarungnya pun cukuplah.


Maka terfikirlah aku, itu fasallah orang lain sudah memikirkan untuk menguasai kuasa politik pula sekarang, setelah kuasa ekonomi dikuasai sepenuhnya oleh mereka.


Sektor peruncitan dan pemborongan sudah dikuasai (sepenuhnya) oleh mereka.


Jika kita nak mula berniaga sarung telefon mungkin orang Melayu, bangsa aku akan mati kerana tidak mampu menandingi harga.


Kedai Cina boleh jual RM50 atau lebih murah kerana mereka mendapat harga borong daripada bangsa mereka sendiri dengan harga yang murah.


Kedai Melayu mungkin terpaksa menjual RM70 kerana mendapat bekalan borong daripada pemborong Cina dengan harga yang lebih mahal.


Jika kedai Cina dan kedai Melayu berada sebelah menyebelah, maka mati dengan natural-lah kedai Melayu itu. Tak perlu belajar ekonomi yang tinggi-tinggi untuk memahaminya.


Mana dia anak-anak bangsa aku. Mana dia agensi-agensi kerajaan yang kononnya mahu membantu anak-anak Melayu itu.
Sudahlah kuasa politik mahu dirampas orang, kuasa ekonomi pun dipisahkan antara bumi dan langit tujuh lapis.


Apa kata, mulai hari ini kita tukar sedikit pendekatan kita. Kita kuasai pula ekonomi. Kita gempur ekonomi mereka.


Wujudkan rangkaian peruncitan dan pemborongan kita. Wujudkan semula segera, Kementerian Pembangunan Usahawan dengan political will berasaskan jihad ekonomi!


Ayuh kita berjihad menguasai ekonomi. Jangan benarkan mereka monopoli. Kita pecahkan monopoli mereka. Wujudkan lima jutawan kita dalam setiap lima tahun atau 1.5 juta jutawan Melayu kita setiap tahun.
Kita harus kuasai ekonomi. Lahirkan ratusan penjual sarung telefon kita. Wujudkan lebih banyak Plaza Pudu dan Plaza Low Yat milik Melayu, yang menjual borong barang-barang perkakasan komputer.


Ayuh bangkitlah bangsaku. Ayuh kita kuasai ekonomi pula. Kita kuasai kedai-kedai hardware, kedai-kedai runcit, kedai-kedai kopitiam, kedai-kedai pakaian ternama, kedai-kedai kasut, kedai-kedai tayar, kedai-kedai alat ganti kenderaan dan lain-lain.


Sembilan daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan. Itu bukan kata saya yang hina ini, itu sunnah Rasulullah SAW!


UTUSAN 

Ayuh berjihadlah orang Melayu, kuasai ekonomi!

TERLALU banyak sudah orang bercakap politik. Tiap-tiap hari cakap politik. Seorang kawan berkata bukan tiga tahun orang kita bercakap politik, tapi sudah 15 tahun kita bercakap politik. Tahun itu dikira sejak Anwar Ibrahim dipecat daripada Kabinet dan UMNO.


Selama itu juga orang Melayu ketinggalan. Sehinggakan nak jual sarung telefon bimbit pun, tiada seorang anak Melayu yang mampu menjualnya.


Jika ada yang menjualnya pun mungkin di luar lingkungan kawasan saya.


Hari ini kita mahu bercakap mengenai Jihad Ekonomi. Apa itu ekonomi, jangan kita tengok ekonomi yang besar-besar ala milik taikun-taikun besar itu.


Kita lihat yang kecil-kecil dulu. Kerana yang kecil ini pun belum selesai lagi. Perniagaan kecil-kecilan yang perlu kita taburkan di seluruh pelosok negara. Ke seluruh cabang bandar, ke seluruh simpang kampung dan barisan kedai-kedai ternama.


Kita buat contoh persaingan kedai minyak Petronas dan Shell. Di mana tercacaknya Petronas di situ ada Shell. Di mana ada Shell di situ ada Petronas.


Oleh itu, di mana ada kedai runcit Cina di situ mesti ada kedai runcit Melayu, di mana ada kedai hardware Cina di situ mesti ada kedai hardware milik Melayu.


Di mana ada kedai mamak, di situ ada kedai nasi Melayu. Di mana ada kedai cermin mata Cina, di situ ada kedai ‘spek’ Melayu, dan begitulah seterusnya.


Baharulah ada persamaan. Baharulah adil dan saksama. Orang lain tak boleh marah kita kerana negara ini adalah negara demokrasi yang mengamalkan free enterprise atau perdagangan bebas.


Malangnya sekarang ini ia tidak adil, sehingga nak beli Kain Kapan orang mati Melayu Islam pun kena ke kedai runcit milik Cina. Nasib baik sekarang ini ada kedai-kedai Maidin. Itu pun namanya Maidin, mana dia nama Awang, Dollah, atau Mamat?


Mulai sekarang kurangkan cakap politik yang memeningkan kepala dan menyakitkan jiwa raga.
Mulai hari ini kita bercakap mengenai jihad ekonomi.


Kita kuasai kedai-kedai menjual telefon bimbit yang menjadi kegunaan ruji rakyat Malaysia sekarang. Bayangkan kini di Malaysia ada lebih 35 juta telefon tangan. Saya menaip Cuit ini pun menggunakan Blackberry.


Tapi persoalannya, siapa yang menjualnya? Berapa peratus orang Melayu yang mendapat untung di atas penjualan telefon itu?


Jangan dicakap telefon, kulit sarungnya pun susah nak cari penjual Melayu.
Minggu lalu saya menulis mengenai isu kulit sarung telefon ini. Banyak respons yang saya terima menerusi e-mail dan panggilan telefon.


Orang yang saya tidak kenal pun bersusah payah mencari nombor telefon bagi menghubungi saya. Mereka tersintak dengan pendedahan itu. Mereka baru tersedar daripada lamunan cakap politik yang menguasai pemikiran mereka selama ini.


Orang yang hidup siang-malam dalam politik - haiwan politik - sudah tentu mahu orang terus bercakap mengenai mereka. Anwar sudah tentu syok apabila orang bercakap mengenai dia, siang dan malam, baik secara kasar, buruk atau baik.
Anwar tak kisah selagi orang terus bercakap fasal dia, kerana selagi orang terus bercakap fasal dia, maka dia akan terus hidup.


Anwar hanya akan mati jika media, orang ramai, orang Malaysia, tutup terus cerita mengenai dia.
Sebaik-baik sahaja media blackout Anwar, maka hari itu adalah hari kematiannya.


Orang Melayu harus pandang ke hadapan. Sepuluh tahun dari sekarang, apa yang mereka sasarkan. Selagi negara ini masih dalam tangan mereka, ayuh berjihadlah ke arah kesejahteraan ekonomi.
Ayuh kerajaan bantulah. Ayuh taikun-taikun terkaya Melayu seperti Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bantulah orang Melayu.


Ayuh syarikat-syarikat Melayu, GLC, bank-bank terajui anak Melayu, bangunkan segera usahawan kecil dan sederhana orang Melayu. Jangan berkira dengan mereka. Ini adalah jihad.


Ayuh orang-orang kaya Melayu wujudkan NGO-NGO Jihad Ekonomi Melayu, bukan lagi NGO politik Melayu yang sudah ada melata.


Ayuh graduan-graduan dan alumni UiTM yang lahir atas Dasar Ekonomi Baru -- yang merata terlibat dalam keusahawanan sekarang - gerakkan jihad ini segera.


Ayuh budak-budak MBA Harvard Melayu, gemblengkan kreativiti bagi memulakan jihad ini. Ayuh pensyarah-pensyarah bisnes dan perniagaan Melayu, babitkan diri dalam Jihad Ekonomi ini. Jangan cakap kosong, realisasikannya.


Ayuh-ayuh tebarkan usahawan-usahawan kita di seluruh gedung-gedung perniagaan besar di ibu negara. Sedarkah kita pemuda-pemuda Cina menguasai sektor-sektor perniagaan runcit elektronik di Plaza Pudu dan Low Yat adalah kerana mereka dibantu oleh sesama mereka. Taikun-taikun mereka membantu mereka. Mereka tidak memerlukan kerajaan.


Ayuh DBKL, sediakan lebih banyak ruang kedai untuk mereka berniaga.


UDA, ayuh kembalilah ke falsafah asal. Jangan terus tidur. Buat banyak lagi Kompleks Pertama atau Sungai Wang Plaza untuk orang Melayu. Bela mereka dan asuh mereka.


Ayuh pihak pembangunan Iskandar, jangan biarkan orang Melayu sekadar pemerhati kehormat. Bagi peluang dan bimbing orang Melayu berniaga di situ.


Dewan Perniagaan Melayu jangan asyik bergaduh merebut jawatan. Ayuh bangkitlah majukan ekonomi Melayu dan bukan untuk tengkolok sendiri.


Ayuh ustaz-ustaz, jangan lagi mahu menjadi terkenal dengan sandiwara politik. Ubah mind-set orang Melayu Islam kita untuk berjihad ekonomi pula. Ia adalah sunnah Rasulullah SAW. Sudah lama kita berpolitik.
Satukan ummah kita dengan Jihad Ekonomi. Ingat 9/10 rezeki adalah daripada perniagaan. Itu sunnah Nabi, tapi mengapa kita alpa?


Jika mereka boleh buka kedai beg tangan LV, Hermes, Maison Martin Margiela, Berkin atau jenama baju pereka terkenal Alexander McQueen, Dolce&Gabanna, Stella McCartney, Rebecca Minkoff - jangan lagi kita hanya pembeli dan pemerhati, kita juga harus menjadi pemilik kedai, pemegang lesen agensi dan menjualnya.


Wujudkan lagi factory outlets di seluruh negara yang dikuasai oleh orang Melayu. Wujudkan Bandung di Bukit Kayu Hitam (BKH), misalnya. Jangan cakap ia mustahil wahai MB baru Kedah, Mukhriz Mahathir. Ia adalah jihad. Lakukan jihad ini, Mukhriz!


Biar orang KL, Ipoh, Penang atau dari Dannok atau Hatyai atau dari Bandung sendiri berkereta dan berkapal terbang ke Changlun untuk berbelanja dan membeli barangan jenama mahal dengan harga murah. Bagi pekerjaan kepada saudara-mara kita di kampung-kampung miskin di situ.


Jika ke New York kita sanggup pula berkereta sejam untuk berbelanja di Woodbury Common Premium Outlets di Central Valley - wujudkan juga gedung yang sama di luar KL. Tapi syarat jihadnya: ia harus dikuasai oleh kita. Selagi kita berkuasa, apa masalahnya? Mustahilkah?


Hairan mengapa Johor Premium Outlets bukan milik orang Melayu? Hairan mengapa dalam Suria KLCC bukan kedai-kedai milik kita? Janganlah bercakap di Pavillion, One Utama, atau di Bangsar Shopping Center dan lain-lain.


Apakah kita ini berbeza daripada mereka? Apakah kita ini pemalas berbanding mereka? Apakah kita ini selama-lamanya akan menjadi window-shoppers yang hanya melihat, tapi tak mampu membeli? Sedih, sedih.
Jangan lagi kita menjadi saksi, jangan lagi kita menjadi pembeli, jangan lagi kita terus dibuli.


Jika mereka yang sudah menguasai ekonomi mahu menguasai politik pula, apa salah kita yang masih menguasai politik, kontrol ekonomi pula.
Ayuh, jika mereka nak buat a surprise checkmate kepada kita dalam PRU-13 ini, kita pulangkan semula buah keras kepada mereka.


Kita kuasai pula ekonomi, kita surprise pula mereka. Wujudkan lebih banyak peniaga kecil dan sederhana Melayu - peruncit dan pemborong - serta jutawan-jutawan Melayu Bumiputera. Ubah kawasan miskin Melayu kepada lebih selesa, senang, kaya dan akhirnya, mewah.
Berdosa kita jika jihad ini gagal. Ke neraka jahaman kita jika jihad ini tidak dapat dijayakan. Ayuh bangkitlah...


UTUSAN